KUALA LUMPUR – Malaysia mengulangi komitmen untuk menyertai gabungan BRICS iaitu bersama-sama negara Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu turut ditegaskan pada pertemuan dengan Rustam Minnikhanov, iaitu Rais (Ketua) Republik Tatarstan, sebuah wilayah di Rusia ketika kunjungan hormat pemimpin berkenaan di Perdana Putra, semalam.
Tambah Anwar, antara yang turut dibincangkan pada pertemuan itu termasuk usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Rusia dengan dunia Islam, khususnya membabitkan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
“Kami turut gunakan kesempatan ini untuk meneroka potensi memperluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam sektor halal, selain usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan,” kata Perdana Menteri menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini. – MalaysiaGazette