GEORGE TOWN – Tindakan sembilan pengusaha restoran dan bar yang meletakkan kerusi dan meja untuk pelanggan di bahu jalan hingga mengganggu lalu lintas di Lebuh Chulia dan Love Lane membawa padah selepas kesemua peralatan tersebut dirampas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) semalam.
Kesemua peralatan itu dirampas menerusi operasi yang dilakukan Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan MBPP pada jam 8.30 malam.
Pengarah Penguatkuasaan MBPP, Noorazrein Noorazlan Ong berkata, rampasan itu dibuat susulan pengusaha premis masih berdegil dan ingkar meskipun beberapa amaran serta kompaun telah diberikan sebelum ini.
“Sebanyak 44 barangan dan peralatan perniagaan iaitu 29 unit kerusi, meja (10) dan lima papan iklan dirampas dalam operasi tersebut.
“Tindakan dilakukan mengikut Seksyen 46(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Halangan),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambah Noorazrein, tindakan terhadap pengusaha premis itu bukan susulan daripada video tular sebaliknya, ia berdasarkan amaran yang dibuat sebelum ini.
Terdahulu, tular video mengenai keadaan di Love Lane juga tular di media sosial memaparkan kerusi dan meja milik pengusaha premis diletakkan di bahu jalan serta didakwa mengganggu lalu lintas.
Video berdurasi 29 saat itu turut menunjukkan pasangan pelancong dari luar negara menari di jalanan. – MalaysiaGazette