ACFTA
Bangunan MITI

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) komited memastikan rantaian bekalan industri nasional kekal berdaya tahan dan terjamin apabila berhadapan dengan gangguan rantaian bekalan pada masa hadapan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, komitmen itu susulan mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) kali keenam yang diadakan emalam memutuskan supaya MITI memulakan inisiatif bagi membangunkan sebuah platform yang dapat meningkatkan kebolehkesanan, membolehkan capaian berpusat kepada garis panduan, peluang pembiayaan dan program sokongan.

Ia termasuk memperkukuh perkongsian ilmu dalam kalangan pemain industri sekaligus menggalakkan inovasi serta kerjasama dalam dan luar negara dalam membina rantaian bekalan yang berdaya tahan.

Menurut beliau, rantaian bekalan global merupakan talian hayat ekonomi dunia yang saling berkait dan melengkapi antara satu sama lain.

Tambahnya, keselamatan rantaian bekalan bukan sahaja membolehkan aliran barangan, perkhidmatan dan input yang lancar merentasi sempadan, malahan dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran sejagat.

“Pandemik Covid-19 merupakan peringatan yang jelas mendedahkan kelemahan dan seterusnya menyedarkan MITI betapa pentingnya rantaian bekalan industri yang berdaya tahan dan efisien.

“Semua pihak berkepentingan perlu menggunakan pendekatan pelbagai serampang bagi meningkatkan daya tahan rantaian bekalan global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, kerjasama antara kerajaan, perniagaan dan organisasi antarabangsa adalah mustahak dalam memudahkan perkongsian maklumat, menyelaras maklum balas dan membangunkan piawaian yang seragam.

Ini termasuk keperluan untuk memanfaatkan teknologi, mempelbagaikan pilihan sumber, memupuk kerjasama
serantau dan meningkatkan keupayaan fleksibiliti sebagai strategi utama dalam mengukuhkan rantaian bekalan yang responsif kepada gangguan rantaian.

Ujar Tengku Zafrul, pendigitalan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan daya tahan dan keselamatan keseluruhan rantaian bekalan, memacu inovasi dan memberi kelebihan daya saing dalam pasaran global yang semakin kompleks.

Dengan memanfaatkan teknologi digital, Malaysia mampu meningkatkan keupayaannya untuk mencegah dan bertindak balas terhadap gangguan, melaksanakan Langkah keselamatan yang teguh, dan menyelaraskan operasi untuk kecekapan dan ketangkasan yang lebih tinggi melalui pendigitalan dalam bentuk sistem, aplikasi
dan pusat kecemerlangan maya.

Berdasarkan hasil dapatan sesi libat urus MITI bersama industri dan penglibatan kerjasama dua hala serta pelbagai hala yang disertai oleh MITI, terdapat keperluan untuk mewujudkan langkah-langkah pencegahan bagi menghadapi kemungkinan gangguan; responsif terhadap gangguan; ketersediaan menghadapi gangguan;
dan pemulihan terhadap gangguan yang dihadapi. – MalaysiaGazette