KUALA LUMPUR – Polis meminta orang awam untuk mengesan seorang pemuda berusia 23 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya untuk bersenam di stadium di Klang pada lewat petang semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, lelaki itu dikenalpasti sebagai Muhammad Nidza Afham dikatakan tidak pulang selepas meninggalkan kediamannya di Jalan Kerongsang 4, Bandar Puteri, Klang pada jam 7.45 petang untuk berjoging di Stadium Sultan Sulaiman Klang.
“Namun, pada jam lebih kurang 9.04 malam hari sama, teman wanita Muhammad Nidza telah cuba menghubunginya namun panggilan sudah tidak dapat disambungkan,” katanya dalam kenyataan itu.
Katanya, polis menerima laporan kehilangannya pada jam 4.22 pagi tadi daripada adik kandungnya.
Tambah Hoong Fong, teman wanita mangsa mendapati lokasi terakhir keberadaannya melalui aplikasi “find my iphone” adalah di jambatan kota berdekatan Majlis Bandaraya Diraja Klang.
Katanya, berpandukan maklumat terkini lokasi keberadaan itu, adik kandung mangsa juga bergegas ke lokasi terakhir tempat.
“Setelah sampai di lokasi berkenaan, dia hanya menjumpai telefon bimbit jenis iPhone dan dompet berisi dokumen seperti kad pengenalan dan kad pelajar kecuali kad ATM didapati hilang.
“Muhammad Nidza memakai baju berwarna biru/hitam ketika keluar untuk jogging di stadium. Mangsa berbadan kurus, sawo matang rambut pendek.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan orang hilang ini diminta untuk menyalurkannya terus ke IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – MalaysiaGazette