Raub Selamat (dua kanan) menunjukkan dadah yang dirampas daripada seorang lelaki, dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Seorang pengedar dadah diberkas bersama lebih 13 kilogram dadah berjumlah RM2.2 juta dalam serbuan di sebuah kondominium dan rumah kedai di bandar raya ini, 7 Ogos lalu.

Sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan melakukan serbuan itu pada pukul 2 hingga 4 petang.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, serbuan pertama dilakukan di sebuah kawasan parkir di sebuah kondominium di Larkin iaitu tempat suspek tinggal.

“Menerusi serbuan tersebut, seorang lelaki berusia 44 tahun ditahan bersama sejumlah dadah dalam kereta Honda Accord yang di parkir di situ.

“Kemudian suspek memandu arah sejauh lima kilometer ke sebuah rumah kedai di Taman Pelangi di sini, yang dijadikan tempat pembungkusan dan penyimpanan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor, di sini, hari ini.

Katanya, serbuan kedua itu membawa kepada rampasan sejumlah dadah dan membongkar tempat pembungkusan dadah sebelum diedarkan terutama di daerah ini.

Beliau memberitahu, menerusi dua serbuan itu pihaknya merampas kira-kira 13 kilogram dadah bernilai lebih RM2.2 juta.

“Modus operandi lelaki ini adalah dengan menjadikan rumah kedai tersebut sebagai tempat pembungkusan dan penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Suspek yang juga penganggur ini dipercayai menjual dadah ini secara individu mengikut kepada permintaan,” jelasnya.

Menurut Raub, dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 44,180 penagih jika terlepas ke pasaran.

Kata beliau, dadah yang dirampas adalah 12,665 gram disyaki serbuk ekstasi, 123 gram disyaki ketamin, 621.8 gram disyaki pil ekstasi dan 3.9 gram pil erimin 5 yang bernilai RM2,214,440.

Selain itu, katanya, polis merampas dua alat pengisar dadah dan sebuah kereta selain menyita dua keping kad berwarna kuning keemasan, pelbagai barang kemas dan wang tunai RM700.

Raub berkata, hasil ujian awal air kencing mendapati suspek negatif dadah dan semakan rekod lampau juga mendapati suapek tidak mempunyai rekod jenayah atau dadah.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sedang mengesan seorang individu dipercayai menjadi pembekal dadah kepada suspek.

“Suspek sudah direman selama tujuh hari dan hari ini tempoh reman disambung lagi tujuh hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast