KUALA LUMPUR – Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu dilantik Datuk Seri Paduka TPr. Dr. Maimunah Mohd Sharif diharap menggunakan pengalaman hebatnya untuk memperbaiki kehidupan warga Kuala Lumpur.
Beliau yang menjadi wanita pertama menjawat jawatan tersebut juga diharap mengangkat imej dan martabat Kuala Lumpur ke peringkat lebih tinggi
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya, Maimunah adalah individu yang layak untuk menggalas amanah mengemudi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ini berdasarkan pengalaman selama hampir empat dekad dalam perancangan bandar dan pembangunan komuniti ketika mengetuai pelbagai institusi sama ada di dalam mahupun luar negara.
“Ini termasuk pengalamannya sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, serta pernah menjadi Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA).
“Lebih membanggakan, beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) yang berpusat di Nairobi, Kenya, satu-satunya wanita Asia yang memegang jawatan ini.
“Moga pengalaman hebat yang dimiliki ini akan digunakan untuk memperbaiki taraf kehidupan warga Kuala Lumpur serta mengangkat imej, reputasi dan martabat bandaraya ini ke peringkat lebih tinggi, Insya-Allah,” kata Perdana Menteri penuh harapan.
Anwar hari ini menyerahkan surat pelantikan kepada Maimunah yang bakal menjalankan tugas sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu bermula esok.
Pelantikan beliau telah mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras dengan Subseksyen 4(2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
Mainumah juga pernah diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama Secretary-General’s Task Force on the Future Cities dan Pengerusi Bersama Local 2030 Coalition.
Kini, beliau dilantik sebagai Penasihat kepada International Council for Local Environment Initiative (ICLEI).
Beliau telah menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti pengiktirafan sebagai Tokoh Perancang Bandar Malaysia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Ahli Kehormat Royal Town Planner’s Institute, United Kingdom; Felo Kehormat, United Cities of Local Government (UCLG).
Beliau juga pernah dilantik sebagai Ambassador of His Majesty King Charles III (King’s Foundation) dalam perbandaran mampan di negara-negara Komanwel.
Maimunah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Perancangan Bandar) dari University of Wales Institute of Science and Technology, United Kingdom sebelum melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Sains (Perancangan Bandar) di Universiti Sains Malaysia.
Beliau juga telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Alam Bina dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. -MalaysiaGazette