Dr Sahruddin (tengah) bersama-sama pimpinan komponen PN selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan PRK DUN Mahkota di Pejabat Bersatu Kluang, Taman Saujana, Kluang, hari ini.

KLUANG – Perikatan Nasional (PN) Johor akan menyerahkan tiga nama calon dipilih bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, di sini, kepada pucuk pimpinan parti pada minggu ini.

Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, ketiga-tiga calon berkenaan yag merupakan anak tempatan itu akan dinilai sebelum dimuktamadkan pimpinan di peringkat Pusat.

“Alhamdulillah kami sudah ada calon dari PN. Setakat ini ketiga-tiganya adalah lelaki, ada yang pernah bertanding dan ada juga yang baharu pertama kali bertanding.

“Kami daripada tiga parti komponen PN iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Pas bekerjasama untuk memenangkan calon PN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas masyuarat persiapan PRK DUN Mahkota di Pejabat Bersatu Kluang,Taman Saujana Kluang, di sini hari ini.

Ditanya mengenai keyakinan menang di DUN Mahkota, beliau berkata, peralihan sokongan rakyat kepada pembangkang akan berlaku contohnya isu besar seperti kenaikan harga barang.

Bekas Menteri Besar Johor itu yakin di DUN Mahkota akan berlaku peralihan sokongan rakyat kepada PN meskipun di Johor, Barisan Nasional (BN) memiliki 40 kerusi DUN.

“Ini berdasarkan sentimen isu-isu semasa termasuk kenaikan harga barang, diesel dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST),” katanya.

Menurutnya, persiapan rapi sudah dilakukan untuk PRK DUN Mahkota termasuk menyiapkan bahagian angkat di Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota pada 28 September ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.

Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu, ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.

Bekas Ketua Wanita UMNO Johor itu sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi HEBHK kerana mengalami sesak nafas.

PRK DUN Mahkota merupakan PRK kesepuluh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022.

Pada PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN menang kerusi DUN Mahkota dengan 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166.

Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi, calon PN, Mohamad Nor Lingan pula meraih 7,614 undi manakala calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman mendapat 555 undi.- MalaysiaGazette