Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki .-Foto WAN NABIL NASIR, 20 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan jawab isu berkaitan pembatalkan larangan terhadap penerbitan komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ karya bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Ahmad Zahid akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut.

“Presiden sendiri akan mengeluarkan kenyataan nanti,” kata Asyraf Wajdi dalam sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 yang akan berlangsung dari 21 Ogos hingga 24 Ogos nanti.

Media semalam melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berjudul ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ tulisan Kuan Yau yang sebelum ini diwartakan pada 2019.

Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bertarikh 6 Ogos lalu.

Beberapa pemimpin UMNO berasa kecewa dengan keputusan berkenaan dan mendesak parti untuk membantah secara keras keputusan terbabit.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zakarshi berkata, rakyat kecewa dengan keputusan KDN dan kerajaan perlu mencari jalan supaya larangan tersebut diteruskan.

Katanya, komik itu jelas mengagungkan Chin Peng bekas pemimpin Parti Komunis Malaya dan dianggap sebagai jarum halus untuk menyebarkan komunisme.

“Ramai anggota keselamatan korban perjuangan bersenjatanya. Selepas negara merdeka dia terus berjuang dalam hutan menentang kerajaan yang sah dan dipilih rakyat. Ideologi komunis menolak Raja Raja Melayu. Ia ancam kestabilan.

“Perjanjian damai bukan bermakna ancaman fahaman komunis yang anti Raja Raja Melayu berakhir. UMNO wajib membantah keras,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Turut membantah Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh yang mendesak kerajaan mempertimbangkan untuk memfailkan permohonan bagi menyemak semula keputusan tersebut.

Muhamad Akmal berkata, ia selaras dengan kuasa sedia ada Mahkamah Persekutuan di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

“Mahkamah dah membuat keputusan. Kami hormati keputusan Mahkamah.

“Tapi tidak bererti kami bersetuju,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau semalam.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, walau siapa sekalipun kerajaan, sensitiviti majoriti rakyat Melayu dan Islam perlu diutamakan dan dipelihara untuk menjamin kestabilan negara ini.

Berdasarkan warta itu, pembatalan Perintah Larangan tersebut membabitkan penerbitan komik itu dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris yang bertajuk ‘Belt and Road Initiative for Win-Winism’ dan bahasa Cina.

Perintah Larangan itu sebelum ini dibuat KDN kerana terdapat kandungan mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast