Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Teresa Kok mendakwa dua pemimpin UMNO iaitu Datuk Dr Puad Zakarshi dan Dr Akmal Saleh tidak menghormati keputusan mahkamah dan menyekat kebebasan bersuara apabila meminta kerajaan untuk menyekat semula buku komik ” Inisaitif Jalur dan Jalan Merah Manfaat Bersama” yang diterbitkan oleh bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, mahkamah telah pun mengeluarkan penghakiman penuh yang jelas menyatakan  buku tersebut tidak mengandungi kandungan hasutan seperti yang didakwa dalam akuan bersumpah Menteri Dalam Negeri.

“Hakim juga berpendapat  ketidakpuasan hati seseorang atau kumpulan tidak boleh menyekat kebebasan bersuara seseorang.

“Walaupun Menteri Dalam Negeri tidak bersetuju dengan kandungan buku tersebut, termasuk tafsiran Hew Kuan Yau terhadap sejarah, pandangan dunianya, serta pandangannya mengenai isu semasa, terutama komik ” Inisaitif Jalur dan Jalan Merah Manfaat Bersama” China dan isu Xinjiang. Itu tidak cukup untuk menjadikannya sebagai buku terlarang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan ketua pemuda parti itu susulan tindakan kerajaan menarik balik perintah larangan komik berkenaan.

Menurut Kok, semua pihak perlu melupakan prejudis lalu dan terus melihat ke hadapan.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP menambah, buat masa ini, misi utama adalah berkenaan kepentingan rakyat, serta memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pada Julai 2022, mahkamah rayuan memutuskan buku tersebut tidak sepatutnya diklasifikasikan sebagai buku terlarang, manakala pada Disember 2022, Mahkamah Persekutuan juga menolak permohonan rayuan Kementerian Dalam Negeri dan mengarahkan Hew Kuan Yau untuk memohon pampasan daripada kerajaan.

Buku komik yang dihasilkan oleh Hew Kuan Yau.

Apabila Kementerian Dalam Negeri menghormati dan melaksanakan keputusan mahkamah, ia secara tidak langsung mempertahankan hak asasi rakyat Malaysia, terutamanya hak kebebasan bersuara dan penerbitan.

Ujarnya, keputusan ini mencerminkan pendirian tegas badan kehakiman negara terhadap kebebasan bersuara dan penerbitan,” ujarnya.

“Puad dan Akmal Saleh harus menghormati kebebasan kehakiman dan keputusan mahkamah, bukannya terus menyeru kerajaan melanggar perintah mahkamah, dan cuba untuk kembali kepada pemikiran kerajaan autoritarian.

“Kita harus meninggalkan cara pemikiran lama yang penuh dengan perpecahan dan ketakutan, dan memandang sejarah dari sudut yang lebih terbuka dan rasional,” kata beliau sambil menambah pembangunan negara perlu dibina atas asas inklusiviti, keterbukaan, dan kedaulatan undang-undang.

Menurutnya, ia untuk memastikan Malaysia bergerak ke arah demokrasi dan keterbukaan, bukannya dengan menindas pendapat berbeza untuk mengekalkan kuasa.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast