Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki mengganggu lalu lintas di Persiaran Gurney, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Gara-gara tidak dapat pulang ke kampung halaman bagi menziarah jenazah ahli keluarga, seorang lelaki Indonesia bertindak mengganggu lalu-lintas di kawasan Persiaran Gurney di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, lelaki berusia 30-an itu turut bertindak memanjat atas sebuah lori yang berhenti di bahu jalan dan terjun ketika sebuah kereta melalui jalan tersebut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden berkenaan sebelum anggota polis hadir ke lokasi dan membuat tangkapan.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai masalah jiwa dan dia dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi satu minit menunjukkan aksi lelaki tersebut memanjat sebuah lori sebelum terjun sebaik sebuah kereta melalui jalan tersebut.

Orang ramai yang berada di lokasi kejadian dilihat cuba menenangkan lelaki tersebut namun dia melarikan diri. – MalaysiaGazette