KUALA LUMPUR – Jumlah jawatan dalam sektor ekonomi meningkat sebanyak 1.5 peratus dengan merekodkan 8.96 juta jawatan pada suku tahun kedua 2024.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pada suku tahun kedua 2024, jumlah jawatan kekal menunjukkan trend meningkat dengan pertumbuhan dari tahun ke tahun sebanyak 1.5 peratus atau pertambahan sebanyak 128,800 jawatan, mencatatkan sebanyak 8.96 juta jawatan berbanding suku yang sama tahun sebelumnya (ST2 2023: 8.83 juta).

Peningkatan jumlah jawatan ini seiring dengan kadar pengangguran yang kekal stabil pada 3.3 peratus seperti yang direkodkan di Laporan Statistik Tenaga Buruh, Suku Tahun Kedua 2024.

Trend ini dijangka kekal stabil sehingga akhir tahun ini lanjutan daripada ekonomi domestik yang kukuh dan pemulihan perdagangan luar negeri.

Melangkah ke hadapan, prestasi eksport dijangka meningkat, selari dengan potensi kemasukan pelaburan ke dalam negara ini yang akan mewujudkan lebih banyak jawatan.

Mohd Uzir berkata, bilangan jawatan diisi pada suku tahun kedua 2024 mengukuh pada kadar 1.5 peratus untuk merekodkan 8.76 juta jawatan (ST2 2023: 8.64 juta).

Bilangan kekosongan jawatan dalam sektor ekonomi adalah 191,400 meningkat sebanyak 0.8 peratus berbanding suku tahun yang sama tahun lepas (ST2 2023: 189,800).

Untuk kadar kepada jawatan, kadar jawatan diisi kekal tinggi pada 97.9 peratus manakala kadar kekosongan jawatan sebanyak 2.1 peratus.

Selain itu, bilangan pewujudan jawatan pada suku tahun ini juga meningkat secara perlahan sebanyak 0.5 peratus untuk mencatatkan 31.9 ribu jawatan (ST2 2023: 31,700).

Mengulas dengan lebih lanjut mengenai bilangan jawatan diisi, Mohd Uzir berkata, trend peningkatan yang konsisten menggambarkan perkembangan ekonomi semasa.

Kestabilan ini dapat dilihat dengan jelas pada pertumbuhan tahun ke tahun yang positif bagi semua sektor ekonomi pada suku tahun ini.

Sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan tertinggi pada 3.9 peratus, diikuti oleh perkhidmatan (1.6%) dan pembuatan (1.3%).

Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar dengan 4.62 juta jawatan (52.8%), diikuti oleh pembuatan (2.35 juta; 26.8%) dan pembinaan (1.24 juta; 14.2%).

Mengikut kategori kemahiran, jawatan diisi tertumpu di kategori separuh mahir dengan 5.49 juta jawatan, bersamaan 62.7 peratus, diikuti oleh kategori mahir dengan 2.19 juta jawatan (25.0%) dan kategori berkemahiran rendah dengan 1.08 juta jawatan (12.3%).

Katanya, terdapat 191,400 kekosongan jawatan dalam sektor ekonomi pada suku tahun ini, peningkatan sebanyak 0.8 peratus berbanding suku tahun kedua 2023 (189,800).

Kategori separuh mahir merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 55.8 peratus dengan sejumlah 106,800 kekosongan jawatan, diikuti oleh kategori mahir dan berkemahiran rendah, masing-masing dengan 25.1 peratus (48.0 ribu) dan 19.1 peratus (36,700).

Mengikut aktiviti ekonomi, sektor pembuatan terus mencatatkan trend positif bagi kekosongan jawatan dengan sumbangan sebanyak 56.6 peratus (108,300), terutamanya dalam subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal (33,600).

Diikuti sektor pertanian, menawarkan 31,800 kekosongan jawatan (16.6%) dan sektor pembinaan dengan 26,000 kekosongan jawatan (13.6%). – MalaysiaGazette