MUAR – Lelaki yang disyaki membunuh dan membakar rumah hingga mengorbankan ibu bapa dan anak saudara perempuannya di Kampung Paya Redan, Pagoh, dekat sini, Jumaat lalu direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Suspek yang memakai baju lokap tiba di Kompleks Mahkamah Muar pukul 9.13 pagi dengan kawalan ketat polis.

Difahamkan suspek yang masih bujang itu ditahan di tepi jalan di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur kirak-kira pukul 1 pagi tadi.

Suspek dipercayai meninggalkan motosikalnya di Terminal Bas Bentayan, di sini sebelum menaiki bas ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur.

Terdahulu media melaporkan polis giat mengesan suspek Azman Mohamed Nor, 48, selepas dipercayai melarikan diri ke daerah lain.

Azman adalah individu penting dalam siasatan kes itu kerana tinggal bersama mangsa.

Lelaki itu dilaporkan hilang pada hari kejadian yang mengorbankan Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82; isterinya, Ara Abdul Hamid, 76, serta cucu mereka Noradriana Nor Hasyim, 11.

Mohamed Nor dan isteri ditemui rentung di dalam rumah manakala Noradriana meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah.

Kakaknya Norazima Mohd Radhi, 14, turut mengalami kecederaan kepala dan tangan tetapi berjaya menyelamatkan diri dengan mendapatkan bantuan jiran. – MalaysiaGazette