Dr Muhamad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok disifatkan tidak faham isu komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Merah Manfaat Bersama’ yang ditulis oleh bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau.

Pergerakan Pemuda UMNO Dr. Muhammad Akmal Saleh turut menyindir Ahli Parlimen Seputeh itu apabila mendakwa beliau cuba untuk kembali kepada pemikiran kerajaan autoritarian.

Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu berkata, Teresa sewajarnya menghormati kebebasan bersuara pihak lain.

“Kepada Teresa Kok jika tidak faham juga apa yang dimaksudkan beritahu saya boleh lukiskan ataupun boleh terjemah ke dalam bahasa Cina.

“Dan satu lagi, jika kami ini berfikiran autoritarian kamu pun tidak boleh duduk dan menjadi ahli Parlimen di negara ini!

“Hormati hak majoriti penduduk negara ini sebelum kamu bercakap untuk menghormati hak kebebasan bersuara untuk kamu!” kata Muhamad Akmal.

Jelasnya, menghormati keputusan mahkamah tidak bermakna mereka perlu bersetuju dengan keputusan membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan berjudul ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’.

“Sebab itu kita minta kerajaan untuk memohon semula semakan keputusan mahkamah tersebut selaras dengan kuasa sedia ada mahkamah persekutuan di bawah kaedah-kaedah mahkamah persekutuan 1995, kerana isu ini begitu sensitif di kalangan orang Melayu di negara ini,” kata Muhamad Akmal dalam kenyataan.

Teresa hari ini mendesak pemimpin UMNO menghormati keputusan mahkamah dengan tidak memainkan isu mengenai buku komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Merah Manfaat Bersama’.

Teresa menyifatkan kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan Muhamad Akmal meminta kerajaan menyekat semula komik itu menunjukkan mereka tidak menghormati keputusan mahkamah dan menyekat kebebasan bersuara.

“Keputusan ini mencerminkan pendirian tegas badan kehakiman negara terhadap kebebasan bersuara dan penerbitan.

“Mohd Puad dan Akmal Saleh harus menghormati kebebasan kehakiman dan keputusan mahkamah, bukannya terus menyeru kerajaan melanggar perintah mahkamah, dan cuba untuk kembali kepada pemikiran kerajaan autoritarian,” kata Teresa.-MalaysiaGazette

 

ARTIKEL BERKAITAN:

Puad, Akmal tidak hormat keputusan mahkamah – Teresa