Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan sindiket ‘job scam’ dengan menyebarkan mesej tawaran pekerjaan secara sambilan yang meminta individu memberikan ulasan kepada laman sesawang dan produk serta perkhidmatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket itu didakwa menyasarkan individu tawaran kerja yang kelihatan menarik namun berisiko tinggi menjadi mangsa penipuan.

Katanya, pihaknya telah mengesan satu sebaran mesej tawaran pekerjaan secara sambilan yang dipercayai didalangi oleh sindiket berkenaan.

“Berdasarkan iklan dipaparkan, mereka menawarkan pekerjaan untuk memberikan ulasan kepada laman web, produk dan sebagainya yang dipaparkan melalui Google.

“Menurut mereka, ulasan itu akan meninggikan trafik lawatan di laman sesawang terbabit sekali gus memberikan keuntungan kepada peniaga yang memaparkan barangan atau perkhidmatan di laman berkaitan.

“Sebagai balasan, individu yang memberi ulasan akan memperoleh bayaran serendah RM15.90 sehari hinggalah RM6,188 sebulan, bergantung kepada tugasan yang disiapkan,” katanya.

Jelas Ramli, berpandukan bentuk pekerjaan serta komisen yang ditawarkan, JSJK percaya ia adalah satu cubaan penipuan.

“Semakan sedang dilakukan bagi menentukan sama ada terdapat individu yang sudah menjadi mangsa kepada sindiket penipuan ini.

“Mana-mana individu yang mungkin ditipu oleh sindiket ini digesa untuk segera tampil membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat untuk sentiasa berhati-hati dengan tawaran pekerjaan sambilan.

“Pada era ketidakstabilan ekonomi yang sedang dihadapi hari ini, mana mungkin terdapat pekerjaan yang menawarkan pulangan lumayan hanya dengan melakukan kerja-kerja mudah.

“Jadilah individu yang lebih bijak, jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast