Sebahagian warga asing yang ditahan ketika Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen di sebuah gedung membeli-belah di Klang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 15 OGOS 2024

KLANG – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini menyerbu sebuah gedung beli belah pakaian di sini hari ini dan menahan 83 pendatang asing tanpa izin (PATI).

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha berkata, kesemua mereka ini ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki dokumen, tinggal lebih masa dan salah guna pas.

“PATI yang ditahan semuanya dari Indonesia (41 orang); Bangladesh (11); India (seorang); Myanmar (empat); Nepal ( 17) dan Pakistan (enam),” katanya Ketika ditemui selepas operasi bersepadu dengan Kerjasama Majlis Bandaraya Diraja Klang.

Selain itu menurut beliau, ada warga asing yang menggunakan kertas permohonan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) yang telah tamat pada Jun lalu.

“Mereka kata dokumen telah diberi kepada majikan atau ejen, sekarang mereka dakwa dalam proses mendapatkan permit. Sebagai contoh ada permohonan RTK 2.0 tapi kita jelaskan permohonan telah tutup. Tapi dalam kebanyakan kes mereka masih membawa kertas itu (permohonan) tapi tidak sah.

“Kalau kita dapati walaupun mereka ada kertas itu tetapi mereka adalah PATI sebab permohonan sudah tutup,” tambahnya.

Wanita warga asing turut ditahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen di sebuah gedung membeli-belah di Klang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 15 OGOS 2024

Sehubungan itu, Jafri mengingatkan semua majikan supaya mematuhi peraturan dalam  menggaji pekerja asing.

“Kita mengingatkan supaya majikan ambil pekerja yang mempunyai permit. Kita mengakui di Malaysia memerlukan pekerja asing untuk bekerja di sektor-sektor tertentu, tapi kita mohon majikan ambil pekerja asing mengikut saluran yang sah.

“Jangan menyalahgunakan pas, kalau ambil pekerja di dalam pembinaan jangan upah mereka di bidang lain pula kerana ia menyalahi peraturan,” ujarnya.

Beliau berkata, semua 83 PATI yang ditahan di gedung pakaian itu di akan dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast