Reaksi sedih seorang ibu selepas selesai proses pengebumian anaknya Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar selepas selesai solat jenazah ketika di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam. Foto MOHD ADZLAN, 15 OGOS 2024.

SHAH ALAM – Ibu Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar, reda dengan pemergian anak kelima daripada tujuh beradik itu yang ditemui di Sungai Klang, Klang Selangor semalam.

Ibunya, Irni Yusmira Istihat, 54, berkata, meskipun berat melepaskan pemergian anaknya itu, dia tetap bersyukur kerana jenazah Allahyarham dalam keadaan sempurna tanpa sebarang kecederaan.

“Umi reda dan doakan anak syurga saya. Ketika saya jumpa telefon dan dompet Afham, kami sudah ada rasa mungkin dia di bawah (dalam sungai).

“Jadi malam itu, selepas laporan polis, saya terus solat dan berdoa meminta Tuhan pulangkan Afham dalam keadaan sempurna seperti mana keadaan arwah ketika ‘Dia’ beri ketika dilahirkan.

 

Ibu dan bapa menyiram pusara anaknya Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar selepas selesai solat jenazah ketika di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam. Foto MOHD ADZLAN, 15 OGOS 2024.

“Apa yang berlaku pada Afham, saya reda sebab kalau ada yang berniat jahat pasti mendapat balasan setimpal,” katanya dengan nada sayu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham Nidza Afham di Tanah Perkuburan Islam Bandar Puncak Alam pada Khamis.

Pada masa sama, wanita itu kelihatan tenang selepas melihat keadan jasad arwah tanpa sebarang kecederaan serius.

Beliau juga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis sekiranya mahu meneruskan siasatan lanjut berkaitan kematian anaknya.

“Tugas kita, adalah reda dan bersyukur serta hati saya betul-betul tenang apabila masuk tengok masuk lihat raut wajah Afham ketika mandi, tiada satu pun yang terpatah.

“Allah beri saya kesempurnaan itu seperti mana saya lahirkan dia, cukuplah. Tak mahu fikirkan itu sebab bukan kerja saya. Kalau mereka nak teruskan siasatan, silakan,” ujarnya lagi.

Jenazah Allahyarham Nidza selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam di sini, sekitar pukul 6.40 petang tadi.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan, kes Muhammad Nidza Afham diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Katanya dalam kenyataan, bedah siasat terhadap mayat pemuda berusia 23 tahun itu didapati tiada kecederaan fizikal dan punca kematian ‘pending laboratory investigation’.

Sebelum itu, segala urusan bedah siasat terhadap jenazah selesai dijalankan di Unit Perubatan Forensik, Hospital Shah Alam (HSA), hari ini.

Semalam, mayat Nidza Afham ditemui pemancing kira-kira pukul 7 malam iaitu kira-kira satu kilometer dari lokasi dilaporkan hilang di Jambatan Sungai Klang.

Mayatnya kemudiannya dibawa ke Hospital Shah Alam (HSA) untuk proses bedah siasat.

Nidza Afham sebelum ini dilaporkan hilang jan 7.45 petang pada 13 Ogos lalu selepas keluar berjoging di Stadium Sulaiman, Klang. – MalaysiaGazette