KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertegas dalam melarang penerbitan komik kontroversi Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama oleh kartunis pro-DAP yang dikenali sebagai Superman Hew.
Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, KDN juga perlu mengkaji semula keputusan menarik balik larangan penerbitan komik tersebut.
Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Machang turut menyifatkan keputusan KDN itu tidak wajar memandangkan kandungan komik tersebut amat tidak sesuai dibaca oleh masyarakat majmuk di negara ini khususnya kanak-kanak.
“Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail perlu mempertimbangkan semula penarikan larangan tersebut dan memastikan komik ini tidak mendekati anak-anak kita,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Wan Fayhsal turut menggesa Kementerian Pendidikan mengeluarkan pekeliling melarang penyebaran dan pembacaan buku itu di sekolah termasuk sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan.
Beliau berharap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memantau penyebaran buku itu dalam kalangan pelajar sekolah, sekiranya ada.
“Kerajaan sepatutnya memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat dan perlu mengelak perpecahan di saat ancaman Islamophobia sedang mengancam dunia ketika ini,” katanya.
Media semalam melaporkan, KDN membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik itu yang ditulis Kuan Yau yang sebelum ini diwartakan pada 2019.
Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos lalu yang ditandatangani Saifuddin Nasution bertarikh 6 Ogos lalu.
Perintah Larangan itu sebelum ini dibuat KDN kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.
Ini kerana kandungan penerbitan itu antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta salah dan mengelirukan mengenai komunis serta mengandungi unsur membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis. – MalaysiaGazette