Rakan kepada guru wanita, Istiqomah Ahmad Rozi, yang dibunuh kejam dengan kepala dipenggal, kedua-dua tangan dan kaki dipotong, di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah akan didakwa Isnin ini.

ALOR GAJAH – Polis sedang menunggu arahan untuk mendakwa suspek utama pembunuhan kejam Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang dijangka ditentukan petang ini atau selewat-lewatnya esok.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kertas siasatan kes penemuan mayat guru sekolah di Masai, Johor itu yang dibunuh sebelum mayatnya ditemui  akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri.

“Petang ini, pegawai penyiasat akan rujuk ke PPN untuk dapatkan arahan tuduh dan paling lewat adalah esok kerana Isnin kita perlu tuduh suspek ini.

“Dijangka lewat petang ini atau esok dan Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah akan mengeluarkan siaran media khas memaklumkan mengenainya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pembunuhan kejam Istiqomah yang mayatnya dikerat sekurang-kurangnya enam bahagian sebelum dicampakkan di beberapa lokasi berasingan.

Pada 6 Januari lalu, mayat wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki dipotong ditemukan dalam tong sampah di tepi jalan Alor Gajah-Tampin berdekatan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang.

Siasatan awal disyaki mangsa dibunuh dengan anggota badan iaitu kepala, tangan dan kaki dipotong dan disumbat ke dalam tong sampah sebelum dibuang ke dalam longkang.

Isnin lalu, polis mengesahkan mayat berkenaan adalah cikgu Istiqomah yang dilaporkan hilang di Pasir Gudang, Johor pada 27 Disember tahun lalu.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 37 tahun dan isterinya berusia 36 tahun ditahan polis di Chemor, Perak pada 5 Ogos lalu bagi membantu siasatan.

Siasatan lanjut terhadap suspek kemudian membawa penemuan sebahagian lagi anggota badan mangsa yang mempunyai tiga anak itu iaitu tulang jari dan kepala kira-kira enam kilometer dari tempat pertama mayat mangsa ditemukan.

Isterinya bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas didapati tidak terlibat dalam pembunuhan itu manakala suaminya disambung reman selama tujuh hari sehingga Isnin ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast