Sarung cawan yang memaparkan bendera Palestin.

BANGI – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan ZUS Coffee berkoloborasi menggerakkan kempen sejuta cawan Gaza dalam membangkitkan rasa peduli rakyat Malaysia terhadap penderitaan rakyat Palestin di Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAPIM, Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby berkata, kempen ini dilancarkan sebagai solidariti rakyat Malaysia terhadap warga Palestin yang dizalimi oleh rejim zionis Israel.

Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby bercakap kepada media pada Pelancaran 1,000,000 Penyokong dan Cawan Zus Coffee (Edisi Khas Gaza) di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Bangi. Foto SYADILA AMARI, 15 OGOS 2024.

“Sesiapa yang nak beli kopi ZUS silakan dan nikmati rasa kopi tanpa ada tekanan untuk menderma.

“Ini bukan kempen beli sambil menderma tapi lebih kepada kempen nak zahirkan solidariti kita dan sesiapa yang berhajat untuk menderma itu adalah pilihan masing-masing.

“Satu juta kita anggarkan dalam tempoh satu minggu bermula pada hari ini. Minumlah apa sahaja kopi tetapi kita akan hadiahkan sleeve ini yang ada lambang dan bendera Palestin,” katanya ketika majlis pelancaran sejuta penyokong dan cawan edisi khas Gaza di Pusat Konvensyen Bangi Avenue, hari ini.

Hadir sama adalah Ketua Pegawai Operasi (COO) Zuspresso Sdn Bhd, Venon Tian.

Mengulas lanjut, Ahmad Sani berkata, penjualan kopi dengan sarung cawan dilengkapi logo Gaza tiada kena mengena dengan pengumpulan dana tetapi lebih kepada pembakar semangat untuk menolak kezalinam rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

“Ini adalah pilihan dan bukan paksaan kepada pembeli kopi,” kata Ahmad Sani lagi.

Dalam sidang media sama, Venon berkata kerjasama ini adalah platform terbaik buat ZUS Coffee, jenama tempatan untuk meneruskan program khidmat masyarakat khususnya kepada rakyat Palestin.

Pelancaran 1,000,000 Penyokong dan Cawan Zus Coffee (Edisi Khas Gaza) di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Bangi. Foto SYADILA AMARI, 15 OGOS 2024.

“Kita pernah buat CSR tapi untuk skala ini kita tidak pernah buat, jadi kita bekerjasama dengan MAPIM untuk mendapatkan manfaat sebab kita ada 536 cawangan.

“Ini adalah platform yang baik untuk ZUS bekerjasama, untuk membuktikan apa yang kami boleh lakukan,” katanya lagi.

Untuk rekod, ini adalah kolaborasi kali pertama antara MAPIM dengan ZUS Coffee dalam melancarkan solidariti terhadap rakyat Gaza.

Sebelum ini, ZUS Coffee pernah berkoloborasi dengan MAPIM dalam memberikan bantuan bekalan air kepada rakyat Palestin di Gaza. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast