Jenazah penyanyi, Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23 yang hilang selepas keluar berjogging tiba di Unit Forensik pada 10.30 malam ketika tinjauan Malaysia Gazette di hospital Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 14 OGOS 2024

SHAH ALAM – Mayat lelaki dewasa dipercayai Muhammad Nidza Afham Mokhtar yang ditemukan di Sungai Klang lewat petang tadi, selamat dibawa ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Shah Alam kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Allahyarham Nidza Afham, abang kepada penyanyi Aufahanie akan menjalani proses bedah siasat bagi mencari punca kematian selain kecederaan lain yang mengakibatkan kematiannya.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, lebih 10 ahli keluarga termasuk ibu dan bapa Aufahani mengiringi jenazah yang dibawa menaiki kenderaan pikap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terdahulu, media melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat lelaki dewasa yang ditemukan di Sungai Klang, kira-kira jam 7 malam tadi adalah Nidza Afham.

Sebelum itu, MalaysiaGazette melaporkan Nidza Afham dilaporkan hilang kira-kira jam 7.45 malam semalam.

Penyanyi berusia 23 tahun itu dilapor hilang selepas keluar joging di Stadium Klang, kira-kira jam 11.53 malam.

Bagaimanapun dompet dan telefon bimbit Nidza Afham itu ditemui di Jambatan Kota, Sungai Klang.

Nidza Afham pernah menyertai rancangan realiti I Can See Your Voice 3, sebelum melancarkan single berjudul Ternyata Bukan Aku. – MalaysiaGazette