Anthony Loke

KUANTAN – Kedudukan Pelabuhan Kuantan yang terletak di tengah-tengah laluan pelayaran kapal persiaran dari sebelah timur Singapura ke Bangkok begitu strategik untuk indusrti kapal persiaran.

Oleh itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, hab pelabuhan itu berpotensi dibangunkan untuk pelancongan cruise bagi perjalanan Singapura-Bangkok-Vietnam-Singapura kerana belum ada perkhidamatan seumpama itu ditawarkan berbanding di laluan Pantai Barat.

Katanya,  cadangan tersebut wajar seiring dengan usaha kerajaan yang giat mempromsikan pelancongan cruise yang telah diplopori oleh  Singapura.

“Kerajaan kini sedang giat mempromosikan pelabuhan negara ini sebagai ‘home port’ kapal persiaran.

“Kita sudah ada pelabuhan di sini sebab itu saya cadangkan supaya Pelabuhan Kuantan membangunkan kemudahan tersebut bagi menarik syarikat-syarikat kapal persiaran untuk menjadikan Kuantan sebagai antara destinasi berlabuh.

”Kita belum ada terminal pelayaran khusus di Pantai Timur, dan Kuantan boleh menyediakan kemudahan sesuai termasuk terminal penumpang dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Persidangan Antarabangsa Pelabuhan Kuantan (K-ICe) 2024 sempena sabutan ke-50 Pelabuhan Kuantan di sebuah hotel di sini pada hari ini.

Loke berkata, kebanyakan kapal persiaran berlabuh di Pantai Barat seperti pelabuhan utama di Selat Melaka  termasuk Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pulau Pinang, Terminal Swettenham Pier dan Langkawi.

”Seperti saya kata di Pantai Barat dan Selat Melaka kita ada Port Klang ada, Penang dan Langkawi tetapi di sebelah pantai Timur belum ada.

”Tetapi apa yang kita lihat, Kuantan Port ini paling strategik. Kita sudah ada pelabuhan jadi mungkin menaik taraf sedikit kemudahan untuk terminal penumpang. Kalau cruise ini berlabuh di Pelabuhan Kuantan mereka ada tempat untuk menurun dan menaikkan kapal,” tambahnya.

Menurut Loke, usaha tersebut perlu mendapat kerjasama daripada Tourism Pahang bagi mencadangkan aktiviti pelancongan yang sesuai dijalankan ketika perhentian sesebuah kapal persiaran yang mengambil masa 10 hingga 12 jam. – MalaysiGazette