gambar tular seorang pemain bola sepak yang dikatakan membawa kerambit baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Pemain bola sepak amatur yang ditahan kerana membawa senjata tajam kerambit semasa perlawanan bola sepak di KLFA Football Centre juga suspek kes membaling bom petrol di sebuah pusat hiburan di ibu kota pada Mei lalu.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, suspek berusia 22 tahun itu adalah orang dikehendaki berhubung kes berkenaan berdasarkan kepada siasatan pihaknya.

“Suspek ini ada wanted (dikehendaki) satu kes iaitu kes baling molotov cocktail di depan pusat hiburan, inilah orangnya.

“Kita mengenal pasti suspek berdasarkan siasatan, rakaman percakapan saksi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan pengecaman,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Syam Mohamed di sini hari ini.

Rusdi berkata, lelaki itu akan didakwa bagi kes bawa kerambit dan kes baling bom petrol di Mahkamah Kuala Lumpur esok.

“Pertuduhan adalah di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 Seksyen 336 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pemain bola sepak amatur itu dikesan membawa senjata tajam dipercayai kerambit ke dalam padang ketika berlaku perselisihan faham dalam perlawanan bola sepak di Pusat Bola Sepak KLFA pada 4 Ogos lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Dalam kes berasingan,  tular video CCTV di laman media sosial yang memaparkan empat individu menaiki dua motosikal membaling bom petrol di hadapan pusat hiburan pada 9 Mei lalu. – MalaysiaGazette