Orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam pada cuti umum sempena perayaan AidilAdha ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 30 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyokong usaha Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan yang komited mencapai aspirasi 40 peratus penggunaan pengangkutan awam di seluruh negara menjelang 2030.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penggunaan pengangkutan awam yang lebih meluas akan mengurangkan pencemaran udara sekali gus menjadi salah satu langkah dalam menangani krisis perubahan iklim.

“Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021-2030 yang dilancarkan pada Oktober 2021 telah menggariskan empat Bidang Fokus dengan 10 Strategi  yang mana pelan ini secara langsung akan menyokong Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030.

“Bidang Fokus D iaitu Peralihan Mod daripada kenderaan persendirian kepada Pengangkutan Awam akan menyasarkan pengurangan karbon sebanyak 44 juta tan C02eq (secara kumulatif dari tahun 2021 hingga 2030),” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, antara empat Pelan Tindakan Utama yang dicadangkan menerusi Bidang Fokus yang dilancarkan pada Oktober 2021 dalam menentukan perkongsian mod melalui tinjauan isi rumah nasional ialah meningkatkan bas henti-henti.

Selain itu menambah kereta api, meningkatkan bilangan laluan, frekuensi, stesen dan aplikasi SMART, dan langkah kawalan trafik (caj kesesakan dan kawalan tempat letak kenderaan).

Nik Nazmi memberi jaminan, NRES sentiasa komited dan bersedia merealisasikan komitmen menangani perubahan iklim.

Semalam Kementerian Ekonomi melaporkan  sedang bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dalam melaksanakan komitmen mentransformasikan andskap pengangkutan wam dengan memberi penekanan khusus di Lembah Klang. -MalaysiaGazette