Seramai 41 rakyat Palestin yang cedera akibat konflik di Gaza diterbangkan dari Mesir pada khamis dengan menggunakan dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 16 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Ketibaan seramai 41 pesakit warga Palestin bersama ahli keluarga masing-masing untuk mendapatkan rawatan di negara ini membuktikan keprihatinan berterusan kerajaan terhadap penduduk Palestin yang menderita akibat serangan regim Israel.

Pemerhati Asia Barat, Dr. Hafidzi Mohd. Noor berkata, kesediaan kerajaan menerima pesakit warga Palestin itu juga membuktikan dasar dan pendirian teguh kerajaan dalam menyokong perjuangan Palestin mempertahankan tanah air.

Dalam pada itu, beliau yang juga Penasihat Kehormat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) berkata, ketibaan pesakit warga Palestin untuk mendapat rawatan di Malaysia juga membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar membuktikan kata-kata dan komitmen yang dibuat sebelum ini.

Penasihat Kehormat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Dr. Hafidzi Mohd. Noor.

Jelasnya, usaha untuk merawat pesakit Palestin itu pernah disuarakan Anwar pada program Himpunan Solidariti Palestin yang berlangsung di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil dekat sini, awal bulan ini.

“Malah, komitmen yang diberikan Anwar itu turut membuka mata dunia apabila disambut baik oleh Presiden Mesir, Abdul Fatah al-Sissi selain mendapat sokongan penuh pemimpin Asia Barat seperti Raja Bahrain, Sheikh Hamad Isa Al Khalifa; Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman,” katanya kepada MalaysiaGazettedi, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berharap lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta badan swasta  turut mengambil inisiatif sama membantu lebih ramai warga Palestin mendapatkan rawatan kesihatan dengan kerjasama kerajaan.

“Terdapat NGO yang telah mengadakan pertemuan dengan pihak kementerian dan menawarkan khidmat sukarelawan serta bantuan yang diperlukan seawal bulan Januari lalu.

“Tawaran seperti ini sudah tentu sangat dialu-alukan sebagai petanda sokongan ke atas usaha-usaha murni Kerajaan Madani dalam membantu warga Palestin,” katanya.

Kira-kira pukul 2.30 dan 3 petang tadi, dua buah pesawat Airbus, A-400M, milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa seramai 41 rakyat Palestin yang cedera akibat konflik di Gaza selamat mendarat di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di sini.

Kedua-dua pesawat itu berlepas dari Pangkalan Udara Al Maza, Mesir pada malam tadi dalam penerbangan kemanusiaan yang mengambil masa kira-kira 13 jam.

Kesemua 41 rakyat Palestin itu kemudian didaftarkan pasukan Kor Kesihatan Diraja sebelum ditempatkan di Hospital Medan milik Angkatan Tentera dekat Pangkalan Udara TUDM.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, dalam kalangan pesakit rakyat Palestin itu majoriti ialah wanita dan kanak-kanak.

Warga Palestin yang cedera dan kini sedang menerima rawatan di beberapa hospital di Mesir mengalami pelbagai masalah kesihatan termasuk kecederaan tulang dan melecur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast