GEORGE TOWN – Perselisihan faham dengan isteri dipercayai punca seorang lelaki nekad bertindak terjun di Kilometer 7.4 Jambatan Pulau Pinang di sini hari ini.
Bagaimanapun, cubaan lelaki tempatan berusia 30-an itu berjaya digagalkan selepas dia dipujuk rakannya dalam kejadian pukul 2.40 pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Fauzian Izzuan Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pukul 2.48 pagi sebelum 10 anggota bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba, kita dapati mangsa sedang ditenangkan rakannya di bahu jalan jambatan terbabit.
“Rakan lelaki itu mendakwa dia menghubungi pasukan penyelamat susulan mangsa hampir terjatuh dari jambatan sebelum berjaya dipujuk.
“Lelaki itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.
Difahamkan, mangsa berasal dari Johor dan bekerja di Pulau Pinang. – MalaysiaGazette