Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan penalti ke atas dua buah bank susulan gangguan beberapa perkhidmatan perbankan baru-baru ini merupakan kemenangan mutlak kepada rakyat.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang menyambut baik perkara itu berkata, tindakan BNM wajar dipuji biarpun jumlah penalti yang dikenakan tidak signifikan dengan keuntungan yang diperolehi bank-bank terbabit.

“Bagi saya ini adalah kemenangan mutlak kepada rakyat. Ini adalah pemulaan yang baik bagi BNM sebagai badan kawal selia institusi kewangan di Malaysia.

“Peratusan ini jauh lebih kecil berbanding dengan peratusan merchant fee yang dikenakan kepada peniaga oleh bank-bank tersebut maka terdapat justifikasi untuk BNM menyelidik perkara ini,” katanya menerusi rakaman video di laman Facebooknya, hari ini.

Ahli Parlimen Ayer Itam itu mengulas tindakan CIMB Bank Berhad, CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB), Malayan Banking Berhad dan Maybank Islamic Berhad (Maybank) yang dikenakan Penalti Monetari Pentadbiran (AMP) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 29 Julai lalu.

CIMB dikenakan penalti sebanyak RM760,000 manakala Maybank RM4,320,000 berikutan ketidakpatuhan pada perenggan 48(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan perenggan 58(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) yang dibaca bersama dengan perenggan 10.32 Dokumen Dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT).

Antara 1 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024, aplikasi Regional Mobile Bank Platform (RMBP) dan MAE Maybank mengalami beberapa kali masa terhenti tidak dirancang yang menyebabkan gangguan berpanjangan terhadap beberapa antara muka (interface) perkhidmatan perbankan dengan pelanggan dan pihak lain yang berkenaan.

BNM menyatakan pelanggan CIMB menghadapi gangguan perkhidmatan yang berpanjangan pada 8 hingga 9 April 2024, yang menjejaskan saluran e-perbankan, ATM, dan kedua-dua perkhidmatan kad debit dan kredit.

Gangguan itu melebihi paras ambang yang ditetapkan oleh BNM.

Menurut Ka Siong, bank-bank juga wajar menurunkan kadar mesin pembayaran elektronik atau merchant fee kerana pembayaran atas talian sudah digunakan secara meluas.

“Bank-bank sudah untung banyak. Mana-mana yang boleh kurangkan kos rakyat, buatlah. Mana yang boleh ringankan beban rakyat, bantulah.

“Cukup-cukuplah. Saya harap apa yang dilakukan BNM ini berkekalan dan diteruskan kerana kebajikan rakyat perlu diberikan keutamaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast