Doktor di hospital kerajaan India melakukan demonstrasi dan mogok kerana membantah kes rogol dan bunuh seorang doktor pelatih di kolej perubatan bandar Kolkata, Timur India, minggu lalu.

INDIA – Doktor di hospital kerajaan India melakukan demonstrasi dan mogok kerana membantah kes rogol dan bunuh seorang doktor pelatih di kolej perubatan bandar Kolkata, Timur India, minggu lalu.

Protes yang berlaku di kampus Kolej Perubatan R.G. Kar di Kolkata telah merosakkan kenderaan dan wad pesakit.

Polis tidak mendedahkan pihak yang terlibat tetapi laporan media menyatakan beberapa pegawai cedera dan gas pemedih mata digunakan untuk mengawal keadaan.

Protes oleh doktor yang menuntut keadilan dan keselamatan kerja yang lebih baik bermula di Kolkata kini telah merebak ke seluruh negara.

Terdahulu, Dr. Moumita Debnath yang merupakan doktor pelatih berusia 31 tahun telah dirogol dan dibunuh di kolej perubatan bandar Kolkata – tempat beliau bekerja dan ia mencetuskan protes di beberapa bandar dan serangan di kampus sebuah kolej perubatan.

 

Susulan itu, polis telah menahan seorang sukarelawan polis yang bekerja di hospital tersebut dan didakwa atas jenayah rogol dan pembunuhan tersebut. 

Pada malam Khamis, Persatuan Perubatan India (IMA), kumpulan perubatan terbesar di negara itu mengumumkan akan melaksanakan penutupan beberapa jabatan di seluruh negara selama 24 jam kecuali perkhidmatan penting.

“Doktor terutama wanita, terdedah kepada keganasan disebabkan oleh sifat profesion ini. Adalah tanggungjawab pihak berkuasa untuk menyediakan keselamatan kepada doktor di dalam hospital dan kampus,” kata IMA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di X lewat malam Khamis.

Pada tahun 2022, polis di India merekodkan 31,516 laporan rogol, meningkat 20 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut Biro Rekod Jenayah Kebangsaan (NCRB).

Namun, banyak kes jenayah terhadap wanita tidak dilaporkan kerana stigma terhadap keganasan seksual dan kurangnya kepercayaan terhadap pihak polis.

Aktivis hak wanita mengatakan masalah itu sangat ketara di kawasan luar bandar di mana komuniti telah memalukan mangsa serangan seksual dan ini menyebabkan keluarga mangsa bimbang tentang kedudukan sosial mereka.

Undang-undang rogol telah dipinda pada tahun 2013 dengan pengintipan serta menurunkan umur di mana seseorang boleh dihakimi sebagai orang dewasa dari 18 kepada 16 tahun.

Walaupun undang-undang telah diperketatkan, aktivis hak asasi manusia berpendapat bahawa kerajaan masih belum cukup mengetatkan undang-undang untuk melindungi wanita dan menghukum penyerang. – MalaysiaGazette