JERANTUT – Seorang penunggang motosikal warganegara Bangladesh maut bersama anak tirinya selepas motosikal ditunggang mereka cuba mengelak lubang sebelum bertembung sebuah kereta di Kilometer 6, Jalan Kampung Pulau Mansok – Jerantut di sini hari ini.
Ketua Polis Jerantut, Deputi Superintendan Zukri Mohammad berkata, kedua beranak itu, Mohammad Adam, 39, dan Muhamad Faiq Aqwa Abdullah, 9, meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu.
”Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motosikal Honda dengan motokar jenis Perodua Axia yang dipandu oleh seorang guru bersama anak lelaki berusia lima tahun.
”Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa mangsa bersama anak tirinya menunggang motosikal menghala ke Jerantut Feri manakala kereta dipandu seorang guru bersama anaknya menghala ke Batu Embun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa yang hendak mengelak lubang di kiri jalan sehingga masuk ke laluan sebelah kanan dan laluan bertentangan serta bertembung dengan kereta berkenaan.
Pertembungan tersebut menyebabkan kereta dipandu guru wanita itu terbabas ke sebelah kanan jalan.
Bagaimanapun katanya pemandu berusia 41 tahun dan penumpang kanak-kanak itu mengalami kecederaan ringan.
Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette