JIM Johor menahan 64 warga asing dalam beberapa siri operasi bermula Isnin hingga Rabu lalu di tiga daerah di Johor

JOHOR BAHRU – Seramai 66 warga asing termasuk seorang majikan warga Pakistan dan seorang majikan tempatan ditahan selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menggempur beberapa premis dalam operasi di negeri ini.

Operasi berasingan pada Isnin hingga kelmarin itu susulan maklumat awam berhubung kebanjiran pendatang asing di kawasan terbabit sehingga menimbulkan kegusaran penduduk setempat.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, menerusi Ops Serkap, Ops Sapu, Ops Dandan dan Ops Belanja sebanyak 18 premis termasuk di empat lokasi hotspot di daerah ini diperiksa.

“Pemeriksaan terhadap 86 warga asing dan tempatan telah berjaya menahan 26 warga asing iaitu lima lelaki dan dua wanita warga Myanmar serta dua lelaki dan empat perempuan warga Indonesia.

“Ini termasuk empat lelaki India, enam lelaki Bangladesh, tiga lelaki Pakistan serta masing-masing seorang wanita Vietnam dan seorang wanita Nepal. Mereka berusia 19 hingga 43 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, turut ditahan seorang majikan warga Pakistan berusia 67 tahun yang merupakan pengurus di sebuah syarikat yang diperiksa.

Sementara Ops Selera dan Ops Sapu di Batu Pahat, Mohd Darus memberitahu, tujuh premis termasuk restoran diserbu,
seramai 33 warga asing dan tempatan diperiksa, daripada jumlah tersebut 11 ditahan termasuk seorang lelaki tempatan ditahan.

“Mereka yang ditahan merupakan tiga lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga India serta satu lelaki dan empat wanita warga Myanmar masing-masing berusia antara 24 hinga 54 tahun.

“Turut ditahan seorang lelaki tempatan yang merupakan pemilik restoran berusia 59 tahun,” ujar beliau.

Selain itu katanya, menerusi Ops Sapu, Ops Belanja, Ops Kutip dan Ops Hijau, enam premis termasuk rumah pekerja diperiksa dan hasil pemeriksaan terhadap 12 warga asing, dua lelaki Indonesia dan dua lelaki Thailand berusia antara 52 hingga 63 tahun.

Sementara dalam operasi bersama-sama Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di Pasir Gudang, beliau berkata, seramai 15 warga asing iaitu lapan enam lelaki dan dua wanita Nepal, empat lelaki Bangladesh serta seorang wanita Myanmar ditahan.

“Dalam operasi sama di Pusat Perdagangan Pandan, lapan warga asing iaitu tiga lelaki Bangladesh, dua lelaki Pakistan, seorang lelaki Nepal, seorang lelaki Myanmar dan seorang wanita Indonesia ditahan,” ujarnya.

Menurut Mohd Rusdi, semua warga asing yang ditahan itu dalam dua operasi berkenaan berusia 24 hingga 55 tahun.

Jelasnya, semua yang ditahan itu dipercayai melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1956/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit untuk berada di Malaysia dan tinggal lebih masa.

Katanya, majikan warga Pakistan itu turut ditahan atas kesalahan Seksyen 15 (1) (c) kerana tinggal lebih masa dan Sesyen 12(1)(c) Akta Pasport 1966 (Akta 150) kerana tanpa kuasa yang sah, ada dalam milikannya pasport atau dokumen perjalanan dalam negeri yang dikeluarkan bagi penggunaan seseorang selain dirinya sendiri.

“Seorang lelaki tempatan pula ditahan bawah Seksyen 15 (1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast