KUALA LUMPUR – Helah sindiket menjadikan inap desa sebagai tempat menyembunyikan pendatang asing tanpa izin (PATI) terbongkar dalam serbuan di Labu, Negeri Sembilan dan Kajang Selangor semalam dan hari ini.
Sindiket itu didalangi warga Indonesia dikenali Geng Putra.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam serbuan pertama di sebuah inap desa di Labu, Negeri Sembilan pada jam 6.30 petang Khamis itu itu membawa kepada tangkapan 17 warga Indonesia dan enam warga Myanmar.
“Pasukan telah beralih kepada serbuan kedua di kawasan Kajang sekitar 2 pagi tadi (Jumaat) sebelum pemeriksaan lanjut berjaya membawa kepada penahanan seramai 12 warga Indonesia serta seorang individu yang memegang status Pemastautin Tetap di negara ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Soffian, kesemua PATI yang ditahan itu berusia antara 21 hingga 61 tahun dan pemeriksaan mendapati mereka sedang dalam perjalanan keluar dari negara ini secara tidak sah.
Tambah beliau, sindiket ini dipercayai bergiat aktif dalam penyeludupan PATI sejak dua bulan lalu dengan menguruskan perjalanan keluar masuk PATI dari negara ini secara haram dengan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 seorang.
“Dalam serbuan sama, tangkapan turut melibatkan beberapa individu yang bertindak sebagai ejen bagi urusan penyeludupan PATI berkenaan.
“Siasatan pasukan kami mendapati lokasi serbuan pertama dan kedua ini merupakan sebuah rumah inap desa yang mana dijadikan sebagai tempat berselindung untuk PATI,” ujarnya.
Soffian berkata, kesemua PATI disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1) (f) Akta Pasport 1966.-MalaysiaGazette