PUTRAJAYA – Perdana Menteri mengumumkan peningkatan julat pendapatan penjawat awam kumpulan pelaksana antara 16.8 peratus hingga 42.7 peratus.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan akan diberikan secara berperingkat mulai 1 Disember tahun ini dan Januari 2026 sebanyak tujuh peratus.
“Kenaikan ini akan secara berfasa mulai 1 Disember 2024 sebanyak lapan peratus dan Januari 2026 sebanyak tujuh peratus.
“Di peringkat pengurusan tertinggi sebanyak tujuh peratus,” katanya dalam ucapan amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke 19 (MAPPA XIX) di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi kumpulan pengurusan tertinggi penyelarasan gaji juga akan mendapat kenaikan gaji secara berperingkat.
Jelasnya, pelarasan gaji bagi kumpulan itu adalah sebanyak empat peratus pada fasa satu iaitu pada 1 Disember tahun ini dan tiga peratus bagi fasa kedua pada 1 Januari 2026.
“Seperti penjawat awam sedang berkhidmat yang akan diselaraskan gaji pada Disember 2024, penyelarasan pencen juga akan dilaksanakan berdasarkan pelarasan ke atas gaji akhir pesara.
“Justeru, julat peningkatan pendapatan yang akan diterima oleh penjawat awam adalah di antara 16.8 peratus hingga 42.7 peratus mengambil kira faedah berganda,” katanya lagi.
Memberikan contoh, Anwar berkata, kenaikan gaji bagi seorang Pembantu Hidupan Liar, Gred G11 dengan pendapatan bulanan pada 30 November 2024 sebanyak RM1,795 akan menerima pendapatan bulanan sebanyak RM2,115 mulai Disember 2024 berdasarkan pelarasan gaji Fasa 1.
Semasa pelarasan gaji Fasa 2 pada 1 Januari 2026, penjawat awam itu akan menerima pelarasan sebanyak tujuh peratus menjadikan jumlah pendapatan bulanan Fasa 2 berjumlah RM2,327.
“Contoh kedua, seorang Jururawat, Gred U19 dengan pendapatan bulanan pada 30 November 2024 sebanyak RM2,457 akan menerima pendapatan bulanan sebanyak RM2,697 mulai Disember 2024 berdasarkan pelarasan gaji Fasa 1.
“Semasa pelarasan gaji Fasa 2 pada 1 Januari 2026, beliau akan menerima pelarasan sebanyak tujuh peratus menjadikan jumlah pendapatan bulanan Fasa 2 berjumlah RM2,994.74,” kata Anwar lagi.
Jelas beliau, kaedah pengiraan kenaikan gaji semua penjawat awam akan diterangkan dengan lebih lanjut oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam sesi libat urus yang akan diadakan selepas ini. – MalaysiaGazette