Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menyambut baik amanat Perdana Menteri mahu meningkatkan kelayakan masuk minimum ke dalam perkhidmatan awam kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setara supaya menjadi pendorong mereka menamatkan persekolahan sekurang-kurangnya sehingga peringkat berkenaan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian sewaktu Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-19 (MAPPA XIX).

Menurutnya, pengumuman Perdana Menteri itu selaras dengan usaha berterusan KPM untuk memastikan murid melengkapkan persekolahan peringkat menengah dan menangani keciciran murid.

“Inisiatif untuk memperluaskan peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada calon dengan kelayakan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) pula membuktikan komitmen Kerajaan untuk menggalakkan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Ia membuka laluan lebih luas kepada graduan Kolej Vokasional KPM untuk meneroka peluang pekerjaan dalam sektor awam.
Usaha untuk memperkenalkan kerangka Iltizam Kecekapan Pentadbiran sebagai satu mekanisme pengukuran tahap penyampaian perkhidmatan Kerajaan, dapat membantu meningkatkan produktiviti seluruh warga KPM.

“Agenda Reformasi Pendidikan yang sedang dilaksanakan KPM
memerlukan komitmen jitu daripada seluruh warga pendidikan,” katanya dalam kenyataan.

Fadhlina juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan yang telah bersetuju melaksanakan pelarasan gaji kepada pegawai Kumpulan Pelaksana, pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi perkhidmatan awam.

“Pengumuman ini memberi manfaat kepada hampir 500,000 orang guru dan kakitangan KPM. KPM bertekad untuk meningkatkan mutu kualiti perkhidmatan di setiap peringkat dan mereformasikan pendidikan negara seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette