Peguam Sivahnanthan Ragava (kiri) manakala tertuduh V Nathan (kanan).

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini mendapati pemandu lori yang berdepan tuduhan membunuh kekasih dengan menolak mangsa warga Thailand itu dari tingkat 23 sebuah kondominium adalah waras ketika kejadian dan boleh dibicarakan bagi pertuduhan tersebut.

Sebelum ini, lelaki itu, V Nathan, 37, telah dibenarkan menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak pada April lepas.

Bagaimanapun ketika prosiding hari ini, mahkamah dimaklumkan pendakwaan keputusan berkaitan pemeriksaan itu telah diperoleh dan didapati OKT waras ketika melakukan jenayah itu.

Oleh yang demikian, tertuduh layak dan boleh dibicarakan.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Norazman juga memaklumkan Majistret, Mohamed Redza Azhar Rezali laporan bedah siasat juga sudah diperoleh bagi prosiding kes ini.

“Kita sudah terima dokumen-dokumen ini. Yang tinggal hanya keputusan DNA sahaja. Hospital Bahagia juga sudah mengesahkan OKT boleh dibicarakan kerana ketika insiden dia didapati waras,” katanya hari ini.

Mohamed Redza kemudian menetapkan 24 Oktober depan bagi sebutan kes.

Sebelum ini, peguam Sivahnanthan Ragava yang mewakili tertuduh telah memohon supaya anak guamnya menjalani pemeriksaan mental terlebih dahulu.

Ini kerana ketika itu, menurut Sivahnanthan anak guamnya itu sukar memproses sebarang arahan yang didakwa berpunca daripada pendarahan di kepala akibat kemalangan motosikal pada 2018.

Hari ini ketika bercakap dengan MalaysiaGazette, kata Sivahnanthan, pihaknya menjangkakan perbicaraan akan bermula sekitar 2025.

“Pendakwaan sudah memaklumkan kita semua dokumen sudah lengkap kecuali laporan DNA, jika semuanya ada maka kes ini akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, dari situ mahkamah akan tetapkan tarikh-tarikh bagi perbicaraan.

”Kita jangka perbicaraan akan bermula sekitar 2025 atau 2026,” katanya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Mawika Lumyai di sebuah kondominium di Setia Alam, Seksyen U13, Shah Alam pukul 10.02 malam pada 28 Februari lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Pada 28 Februari lalu, seorang wanita warga Thailand dilaporkan maut selepas jatuh dari tingkat 23 kondominium berkenaan.

Menurut saksi, berlaku pergaduhan antara suspek dan mangsa sebelum wanita berkenaan ditolak dari tingkat 23 dan jatuh ke tingkat tujuh kondominium terbabit.

Semakan polis mendapati suspek ada tujuh rekod jenayah dan satu rekod dadah, manakala ujian saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis ganja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast