Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor yang memohon penangguhan prosiding kes saman terhadapnya oleh syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL.

Global Royalty Trading SAL yang berpangkalan di Lubnan menyaman Rosmah kerana mendakwa ia kehilangan lebih 44 unit barangan kemas yang telah diberikan kepada isteri kepada bekas Perdana Menteri itu.

Pada prosiding atas talian, Hakim Mahkamah Tinggi, Ong Chee Kwan memutuskan perbicaraan yang sepatutnya bermula pada Jun tahun depan akan berlangsung seperti yang ditetapkan.

Rosmah memohon prosiding ditangguhkan hingga rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk memasukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia sebagai pihak ketiga, belum diputuskan Mahkamah Rayuan.

Menurut peguam Rosmah, Rajivan Nambiar, rayuan anak guamnya belum selesai di Mahkamah Rayuan untuk membawa PDRM dan kerajaan sebagai pihak ketiga.

“Tujuan penangguhan ini adalah untuk memastikan andai prosiding berjalan di Mahkamah Tinggi, ia tidak sepatutnya menjejaskan prosiding pihak ketiga sekiranya Datin Seri berjaya dalam rayuan.

“Mahkamah Tinggi pula hari ini memutuskan jika rayuan memasukan pihak ketiga berjaya,  mahkamah akan memberi arahan baharu mengenai prosiding antara defendan dengan pihak ketiga. Kerana itu, setakat ini tidak ada sebarang penangguhan,” katanya.

Pada tahun lalu, Global Royalty memfailkan saman dengan mendakwa Rosmah berbohong apabila menyatakan 44 unit barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan seorang ejen syarikat itu kepadanya dirampas pihak berkuasa Malaysia.

Rampasan itu berkait dakwaan kesalahan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Global Royalty juga mendakwa Rosmah telah mengalihkan beban kepada kerajaan Malaysia walaupun barangan kemas itu telah hilang. – MalaysiaGazette