Foto FB NSFC

KUALA LUMPUR – Negeri Sembilan FC (NSFC) melakukan langkah drastik apabila melakukan penstrukturan semula barisan kejurulatihan selepas merekodkan enam kekalahan daripada tujuh perlawanan Liga Super.

Melalui penstrukturan itu, pasukan itu kini tidak lagi dibimbing Azzmi Ab Aziz sebaliknya posisi ketua jurulatih diambil alih Penolong Ketua Jurulatih, K Nanthakumar berkuatkuasa semalam.

“Adalah dimaklumkan bahawa jawatan ketua jurulatih akan digalas oleh penolong ketua jurulatih iaitu K Nanthakumar mulai hari ini.

“Beliau akan dibantu oleh penolong ketua jurulatih yang baharu iaitu Efendi Abdul Malek dan K Rajan manakala Megat Amir Faisal kembali menggalas tugas sebagai jurulatih penjaga gol.

“Jawatan Pengarah Teknikal yang sebelum ini disandang oleh Efendi, akan diambil alih oleh Azzmi,” kata kelab itu dalam satu kenyataan malam tadi.

NSFC menjelaskan penstukturan semula itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kelab berkenaan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Menurutnya, kelab telah menjalankan semakan menyeluruh terhadap struktur dan operasi pasukan Liga Super Negeri Sembilan.

“Selepas pertimbangan yang teliti, pihak pengurusan kelab bersetuju melakukan penstrukturan semula untuk memastikan kelab kekal berdaya saing khususnya di peringkat Liga Super.

“Kami akui akan cabaran yang bakal dihadapi untuk kelab melakukan perubahan, tetapi masih yakin langkah ini penting untuk kekal kompetetif,” menurut kenyataan itu.

Menerusi penstrukturan semula itu, kelab berharap agar sokongan berterusan dapat diberikan oleh pemegang taruh dan penyokong pasukan bagi mengharungi fasa penting dalam perjalanan membina semula kelab ini. – MalaysiaGazette