Gambar Hiasan

SHAH ALAM – Paderi Gereja Petra Evangelical & Deliverance dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun pada akhir Jun yang lalu.

Berdasarkan pertuduhan, B. Moses Melchizedek, 27, pada akhir Jun lalu pada pukul 5 hingga 7 petang didakwa melakukan amang seksual dengan meletakkan jarinya di kemaluan kanak-kanak tersebut.

Dalam masa yang sama, beliau turut didakwa meletakkan tangan kanak-kanak itu di kemaluannya.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sekiranya didapati bersalah, paderi itu boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat bagi setiap satu tuduhan.

Bagaimanapun, lelaki itu mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan.

Hakim, Rasyihah Ghazali kemudian menetapkan ikat jamin berjumlah RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Paderi itu juga diarahkan supaya melaporkan diri di balai polis berdekatan dengan kediamannya sekali setiap bulan.

Selain itu, tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Sebagai rekod, pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nabilah Abd Rashid

Terdahulu, peguam yang mewakili paderi tersebut,  Datuk N. Sivananthan memohon supaya mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang rendah.

Jelasnya, ia kerana tertuduh ditanggung oleh pihak gereja dan isterinya.

“Pengadu tidak lagi tinggal di gereja tersebut.  Selain itu, perbelanjaan dan keperluan beliau disokong gereja, jadi kalau boleh mohon jaminan RM6,000,” ujarnya.

Sementara itu, tarikh sebutan dan pengurusan kes adalah 19 September depan.

Sebagai rekod, polis menahan paderi itu semalam.

Mengesahkan perkara berkenaan,  Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada mangsa berusia 13 tahun pukul 10.09 malam pada Isnin lalu.

Ujarnya, mangsa mendakwa diganggu secara seksual dan fizikal oleh suspek di dalam bilik tidur di gereja terbabit.-MalaysiaGazette