Pasangan warga emas rentung selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan, Pagoh, Muar hari ini

MUAR – Tragedi sepasang suami isteri warga emas dan cucu rentung dalam kebakaran Kampung Paya Redan, Pagoh, di sini minggu lalu meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa.

Apatah lagi insiden tragis berkenaan turut memusnahkan rumah pusaka keluarga yang berusia 100 tahun.

Adik mangsa, adik kepada arwah Mohamed Nor Mohamed Yassin iaitu Husin,72, berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku dan mengejutkan apabila dilakukan oleh anak sulung abangnya.

“Pada awalnya, saya menjangkakan insiden kebakaran hanyalah kemalangan biasa namun saya terkejut apabila dimaklumkan abang dan kakak ipar serta cucu mereka menjadi mangsa bunuh oleh darah daging mereka sendiri.

Ahli keluarga kepada pasangan warga emas rentung menyiram pusara sebagai penghormatan terakhir di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan, Pagoh, Muar, hari ini

“Sekarang kami sekeluarga menanti siasatan terperinci pihak polis dan mengharapkan hukuman setimpal terhadap suspek utama sekiranya didapati bersalah. Kami menyerahkan sepenuhnya urusan siasatan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Beliau yang juga peneroka di Bahau, Negeri Sembilan berkata demikian ketika ditemui selepas pengkebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan, Pagoh hari ini.

Sementara itu, anak kepada pasangan warga emas terbabit, Mahat Mohamed Nor, 45, dan keluarga berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan sepanjang urusan tuntutan jenazah.

“Kami sekeluarga diberitahu jenazah boleh dituntut selepas laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diperoleh semalam.

“Alhamdulillah lega dapat sempurnakan jenazah ibu dan ayah selepas seminggu kami menunggu. Segala urusan dipermudahkan. Saya serahkan kepada pihak polis untuk lakukan siasatan terhadap kes ini,” katanya.

Dalam kejadian pada awal pagi Jumaat lalu, pasangan warga emas terbabit, Mohamed Nor, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76, serta cucu mereka Noradriana Nor Hisyam, 11, maut selepas rumah mereka hangus dalam kebakaran.

Pasangan itu rentung di lokasi kejadian manakala cucunya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.

Insiden itu turut menyebabkan seorang lagi cucu perempuan mereka yang berusia 14 tahun mengalami kecederaan dan sedang dirawat di HPSF.

Sabtu lalu, Noradriana selamat disemadikan di Tanah perkuburan Islam Kampung Paya Redan.

Polis yang pada awalnya mengklasifikasi kes sebagai mati mengejut menukar siasatan kepada 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas mendapati terdapat unsur jenayah pada badan ketiga-tiga mangsa yang maut.

Rabu lalu, suspek merupakan anak sulung mangsa ditahan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, direman di Mahkamah Majistret Muar selama tujuh hari sehingga 20 Ogos ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast