Pekerja cuci kereta maut manakala rakanya yang juga pengawal keselamatan parah ditetak lima suspek dalam kejadian di Bedong, Kedah.

SUNGAI PETANI – Seorang pekerja pencuci kereta maut manakala rakannya yang juga pengawal keselamatan parah selepas ditetak lima lelaki di dua lokasi berasingan di Bedong di sini semalam.

Masing-masing mangsa berusia lewat 20-an itu mengalami kecederaan pada dada dan tangan akibat ditetak dalam kejadian kira-kira 2 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kedua-dua mangsa diserang lima lelaki bermotosikal semasa berada di sebuah tapak kosong berhampiran simpang ke Kampung Tok Pawang dekat sini.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa pengawal keselamatan itu sedang bekerja sambil ditemani rakannya sebelum didatangi suspek bersenjatakan parang.

Pihak polis dan forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

“Pengawal keselamatan itu diserang manakala rakannya bertindak lari dari lokasi kejadian ke belakang premis cuci kereta di Taman Bedong yang terletak kira-kira 2.7 kilometer.

“Namun suspek turut mengejarnya ke lokasi tersebut sebelum bertindak menyerang pekerja cuci kereta terbabit.

“Rakan mereka yang menyedari kejadian itu telah membawa kedua-dua mangsa ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini namun pekerja pencuci kereta disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Wan Azharuddin, susulan itu pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan Unit Pengesan (K9) menjalankan siasatan di lokasi.

“Hasil siasatan dan risikan membawa kepada tangkapan tiga lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun di sekitar Sungai Petani.

“Ketiga-tiga suspek dibawa ke mahkamah pagi ini bagi mendapatkan perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta 326 akta sama.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di talian 04 429 9222 atau pegawai penyiasat kes Asisten Superintendan, Azmirul Abdul Aziz di talian 019 444 6521,” katanya. – MalaysiaGazette