Mohd Fared Mohd Khaled

JOHOR BAHRU – Seorang pengikut Millah Abraham yang mendakwa dirinya sebagai ‘menteri’ dalam komuniti ajaran sesat itu diberkas di rumahnya di Batu Pahat, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khaled berkata, individu itu ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pada pukul 7.15 malam.

“Operasi bersepadu bersama-sama JAINJ itu adalah untuk membanteras ajaran dan fahaman Millah Ibrahim/ Abraham. Suspek dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Daerah Batu Pahat semalam.

“Tarikh perbicaraan akan dilakukan pada 24 September ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus membanteras semua jenis ajaran sesat di negeri ini daripada berleluasa dengan menggunakan segala kekuatan enakmen yang ada.

“Orang ramai digesa terus melaporkan sebarang ajaran agama yang mencurigakan bahkan hendaklah melaporkannya kepada pihak berkuasa,” ujarnya.- MalaysiaGazette