Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan tiada sebarang kehilangan barang kepunyaan Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar  seperti yang  tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata,  pihak keluarga arwah juga tidak membuat sebarang laporan polis berkaitan kehilangan barang-barang waris mereka.

Justeru polis menasihati orang ramai agar menghentikan sebarang spekulasi atau komen keterlaluan membabitkan insiden kehilangan dan penemuan jasad Allahyarham Muhammad Nidza Afham baru-baru ini.

Beliau dalam kenyataannya juga menasihati orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak betul yang mana tidak pasti kesahihannya.

Menurut beliau, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati mengeluarkan sebarang spekulasi atau komen secara melampau berhubung kes tersebut.

Sebelum ini, polis mengesahkan bahawa kes kematian Muhammad Nidza diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Keputusan itu dibuat selepas hasil laporan bedah siasat forensic Hospital Shah Alam menunjukkan tiada sebarang kesan kecederaan dijumpai pada anggota badan allahyarham.

Penyanyi berusia 23 tahun itu dilapor hilang selepas keluar joging di Stadium Klang, Selangor kira-kira pukul 11.53 malam.

Bagaimanapun dompet dan telefon bimbit Nidza Afham itu ditemui di Jambatan Sungai Klang, Klang.

Tidak sampai 24 jam, polis menemui mayat lelaki di Sungai Klang berhampiran Jambatan Klang sebelum dimati disahkan sebagai Muhammad Nidza yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya.-MalaysiaGazette