KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing bawah umur yang disyaki dieksploitasi untuk menjadi buruh paksa berjaya diselamatkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam.

Mangsa diselamatkan menerusi satu operasi membanteras pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di dua buah premis restoran di Shah Alam, Selangor.

Timbalan Ketua Pengarah JIM (Operasi), Jafri Embok Taha berkata, operasi kira-kira jam 10.30 malam itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA, Ibu Pejabat Imgresen Putrajaya.

Katanya, operasi turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

“Bertindak atas maklumat daripada sumber aduan, terdapat sejumlah warga asing yang tidak mempunyai pas yang sah diambil bekerja dan disyaki melibatkan elemen pemerdagangan orang.

“Hasil operasi serbuan di dua restoran itu berjaya menahan seramai 14 warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen yang terdiri daripada lima warga Myanmar termasuk seorang wanita, tiga lelaki dan tiga wanita warga Indonesia serta tiga lelaki warganegara India,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Restoran yang diserbu pasukan imigresen sebelum membawa kepada penahanan warga asing dan buruh paksa bawah umur yang disyaki dijadikan buruh paksa.

Tambah beliau, semasa operasi itu pasukan serbuan mendapati seorang pekerja yang menyedari kehadiran pegawai JIM bertindak meloloskan diri namun berjaya diberkas semula.

Jelasnya, pemeriksaan seterusnya pasukan berjaya menahan dua majikan warga tempatan dan empat saman saksi telah dikeluarkan kepada individu yang dikenalpasti untuk membantu siasatan lanjut.

“Imigresen telah memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007(Akta 670) iaitu memperdagangkan orang yang merupakan kanak-kanak bagi maksud eksploitasi.

“JIM sentiasa memandang serius perkara seumpama ini dan akan meneruskan operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan pemerdagangan orang di bawah ATIPSOM 2007 (AKTA 670).

“Jika disabitkan kesalahan individu terlibat boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau dengan penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun,dan boleh dikenakan sebatan bagi kesalahan pemerdagangan orang yang lebih berat,” ujarnya. – MalaysiaGazette