JOHOR BAHRU – Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan tidak akan mengambil sebarang gaji sebagai Perdana Menteri sehingga kini walaupun gaji penjawat awam kini dinaikkan.
Malah beliau yang juga Menteri Kewangan itu berkata, potongan gaji sebanyak 20 peratus jemaah menteri masih diteruskan.
“Saya umum kenaikan gaji pejawat awam tetapi gaji jemaah menteri tidak naik malah masih kekal dipotong 20 peratus. Dalam masa yang sama, kerajaan bantu penjawat awam dengan menaikkan gaji mereka.
“Perdana Menteri pula sampai hari ini, walaupun macam-macam ditohmah tetapi tetap tidak ambil gaji,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat Zon Selatan dam Setahun Ekonomi Madanit di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai hari ini.
Semalam Anwar mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam dinaikkan kepada 15 peratus manakala pengurusan tertinggi dinaikkan pada kadar tujuh peratus.
Pelaksanaan pelarasan gaji itu dilakukan menerusi dua fasa bermula 1 Disember depan dan 1 Januari 2026.
Pada Disember 2022, Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk memotong gaji sebanyak 20 peratus setiap bulan.
Langkah tersebut diambil sebagai semangat keprihatinan terhadap masalah rakyat.
Seterusnya pada Januari lalu, Anwar dilaporkan kekal dengan pendirian tidak akan mengambil gaji bagi jawatan yang disandangnya sejak November 2022 itu selagi ekonomi negara tidak pulih sepenuhnya. – MalaysiaGazette