Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada wartawan ketika sidang media pada International Young Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE 2024) di WTC Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 17 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan meletak calon muka baharu di Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota di Johor bulan depan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, pengumuman calon itu akan dibuat selepas perbincangan mesyuarat bersama Seketariat Kerajaan Perpaduan pada minggu depan.

“Saya akan umum bila tiba masanya. Kita akan berbincang dalam mesyuarat Skretariat Kerajaan Perpaduan minggu depan.

“Calon muka baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri International Young Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE 2024) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa prinsip kerusi penyandang akan diambil kira bagi menentukan parti bertanding di dalam kerajaan.

“Prinsip pertama di mana kerusi itu dipegang sesebuah parti maka formulanya parti itulah akan bertanding.

“Ini sangat dihormati parti komponen Kerajaan Perpaduan, ini asas akan kita gunakan bila kita letakkan calon di DUN Mahkota, Johor,” katanya.

Sebelum ini, Parti Amanah Negara Kluang menuntut diberi laluan bertanding pada PRK tersebut.

Selasa lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya yang menetapkan 28 September depan sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Mahkota manakala hari penamaaan calon pada 14 September ini.

Ia berikutan berlaku kekosongan luar jangka ekoran kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.

Seramai 66,318 pengundi kawasan itu layak mengundi berdasarkan kepada Daftar Pemilih Tambahan Bulan Jun yang dikemaskini sehingga 2 Ogos lalu.

Sharifah Azizah, 63, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon Barisan Nasional menang kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi.

Ini merupakan PRK kesepuluh selepas PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai (Johor); DUN Pelangai (Pahang); DUN Jepak (Sarawak); Parlimen Kemaman (Terengganu), DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang) dan terakhir adalah PRK DUN Nenggiri, Kelantan. – MalaysiaGazette