Calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani bersama isteri, Nur Kamilah Mat Zain tiba di pusat pengundian.-Foto fb KELANTANfm

GUA MUSANG – Calon Barisan Nasional (BN) dan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri mengundi di pusat mengundi yang sama di Tabika Sri Bakawali di Bertam Lama.

Calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dilihat memasuki pusat mengundi di Bertam Lama pada 8.30 pagi.

Berbaju batik gelap, Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu ditemani isterinya Nur Kamilah Mat Zain.

Norkamila, yang hamil tujuh bulan, juga menunaikan tanggungjawab di pusat pengundian yang sama.

Calon PN Rizwadi Ismail turut melaksanakan pengundian di situ. Diiringi isteri Che Mariam Che Noh, Rizwadi atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi tiba di pusat pengundian pada jam 8.40 pagi.

Sebanyak 20 pusat pengundian membabitkan 46 tempat mengundi atau saluran bagi PRK DUN Nenggiri, dibuka serentak pada jam 8 pagi ini.

Daripada jumlah pusat pengundian itu, 14 pusat pengundian dibuka sehingga jam 6 petang.

Manakala empat pusat mengundi akan ditutup jam 2 petang, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, SK Sri Permai dan SK Kuala Sungai.

Dua lagi pusat mengundi akan ditutup pada jam 3 petang, iaitu Dewan Orang Ramai Pos Simpor dan Sekolah SK Pulat.

PRK DUN Nenggiri membabitkan seramai 20,259 pengundi berdaftar dan sehingga 9 pagi tadi sejumlah 10.9 peratus telah keluar mengundi.

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas.

Ini selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu  pada 13 Jun lalu.- MalaysiaGazette