KULAI – Kejayaan Kulai Fast Lane (KFL) dan adaptasi penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang dilakukan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) perlu dicontohi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, inisiatif pembaharuan berkenaan boleh dilaksana bagi meningkatkan sistem penyampaian kepada rakyat dan juga pelabur.
“Budaya kerja yang mengambil masa yang lama untuk memproses sebarang kelulusan akan menyebabkan negara ketinggalan berbanding negara jiran seperti Thailand dan Singapura.
“Inovasi dan pembaharuan dilaksanakan oleh MPKu melalui Program KFL harus menjadi inspirasi kepada pihak berkuasa tempatan lain.
“Saya berharap agar usaha ini diteruskan dan diperkasakan dengan teknologi terkini seperti Al bagi mempercepatkan proses kelulusan sekali gus meningkatkan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke MPKu, di sini hari ini. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Tan Sri Dr Azmi Rohani.
KFL merupakan sistem penyampaian perkhidmatan yang pantas dan berkesan untuk memproses permohonan pemajuan fizikal, merangkumi proses sebelum pelan diluluskan, kelulusan pelan, Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), serta pengeluaran lesen operasi.
Menerusi lawatan kerja berkenaan, Shamsul Azri diberi taklimat mengenai pencapaian signifikan program KFL termasuk pengurangan masa pembinaan bangunan industri daripada 36 bulan kepada 14 bulan, serta peningkatan pelaburan sebanyak 171 peratus yang kini berjumlah RM45 bilion.
Program ini juga berjaya mencipta 7,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi setempat.
Mengulas lanjut, Shamsul Azri berkata, KFL telah membuktikan keberkesanan dalam mempercepatkan proses kelulusan permit pembinaan dan memberikan keyakinan kepada pelabur dengan ketelusan dan kecekapan perkhidmatannya.
“Sebenarnya saya amat kagum dengan pencapaian MPKu menerusi KFL kerana proses kerjanya dapat dipercepatkan dan ini akan menarik lebih ramai pelabur datang ke Johor.
“Jadi, saya akan selalu mempromosikan kejayaan MPKu ini kepada PBT yang lain supaya kita boleh meningkatkan perkhidmatan kita kepada pelabur seperti mana yang dituntut oleh Perdana Menteri,” ujarnya.
Langkah tersebut katanya, secara tidak langsung akan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam ranking Daya Saing Global (WCR).
Data yang dikeluarkan Institut Antarabangsa Pembangunan Pengurusan (IMD), Jun lalu menunjukkan Malaysia yang jatuh ke tangga 34 selepas menduduki tangga ke-27 pada tahun 2023 lalu.
Kedudukan itu sekali gus meletakkan Malaysia berada di kedudukan yang lebih rendah daripada Thailand (ke-25) dan Indonesia (ke-27) tetapi lebih tinggi daripada Filipina (ke-52).
Malah di peringkat rantau Asia Tenggara juga, Malaysia telah jatuh empat anak tangga ke tempat ke-10 daripada 14 negara Asia Pasifik yang termasuk dalam ranking itu.- MalaysiaGazette