Rafizi Ramli

JOHOR BAHRU – Dakwaan seorang menteri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan dipindahkan ke kementerian lain atau digugurkan daripada Kabinet adalah tidak berasas dan sebagai polemik politik.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, polemik itu merupakan taktik lapuk untuk menyerang kerajaan yang kini memberi banyak tumpuan membangunkan ekonomi dan mentadbir negara lebih baik.

“Saya nasihatkan begini, saya rasa ni taktik lapuk, apabila polemik politik itu lawan kami tidak boleh berdepan hal penting untuk negara hal ekonomi, pentabiran jadi diambil isu-isu picisan.

“Saya boleh sebut, sepanjang 25 tahun dalam PKR, ini adalah masa yg paling stabil dan aman sekali. Tiada apa-apa masalah dalam PKR,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sebelum perasmian Penutup Program Madani Rakyat Zon Selatan dam Setahun Ekonomi Madanit di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, di sini hari ini.

Terdahulu sebuah portal yang memetik sumber dalaman PKR mendakwa, seorang menteri daripada parti itu mungkin akan dipindahkan ke kementerian lain atau digugurkan daripada jemaah menteri.

Portal itu turut melaporkan satu lagi sumber daripada DAP mendakwa terdapat perbincangan tentang rombakan jemaah menteri yang mungkin berlaku menjelang akhir Ogos dengan beberapa timbalan menteri dijangka dinaikkan pangkat ke jawatan menteri.

Sementara pada Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menafikan akan melakukan rombakan Kabinet membabitkan jemaah menterinya tidak lama lagi.

Malah beliau berkata, pihaknya tidak mendengar sama sekali berhubung perancangan rombakan Kabinet seperti dilaporkan sebuah portal berita.- MalaysiaGazette