KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih popular dengan panggilan Awie merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundinya.
“Terima kasih pengundi kerana memilih saya. Ini bukan kemenangan saya seorang sebaliknya kemenangan besar parti.
“Apa yang saya mahu katakan adalah terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pimpinan UMNO, jentera parti dan keluarga saya, terima kasih pengundi pilih saya,” katanya.
Mohd Azmawi menewaskan calon PN, Mohd Rizwadi Ismail dengan memperoleh 9,112 undi berbanding Pas 5,741 undi sekali gus BN meraih majoriti 3,372 undi.
Seramai 20,259 pengundi berdaftar di DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN dan calon Perikatan Nasional (PN).
PRK ini dilaksanakan selepas pengumuman kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas.
Ini kerana bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, calon BN Ab Aziz Yusoff tewas kepada Mohd Azizi yang bertanding di bawah tiket PAS mewakili PN dengan majoriti 810 undi. – MalaysiaGazette