Pekerja pembersihan, membersihkan daun-daun Pokok Tecoma selepas baru-baru ini kecantikkanya ketika luruh menjadi tumpuan ramai ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Putrajaya. Foto FIKRI YAZID, 29 MAC 2021.

JOHOR BAHRU – Tukang cuci, pengawal keselamatan dan tukang kebun yang bekerja secara kontrak dengan gaji rendah di sekolah, hospital dan klinik kerajaan perlu diberi pembelaan sewajarnya.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ini kerana biasanya hak dan kebajikan mereka diabaikan malah dalam situasi tertentu ditindas pihak majikan.

Katanya, kerajaan tidak seharusnya terlepas pandang pekerja terbabit yang bukan penjawat awam tetapi bekerja di sekolah, hospital serta klinik kerajaa secara kontrak.

“Pekerja tidak rasmi ini atau jumlahnya ramai di seluruh negara yang kadang kala lazimnya ditindas oleh majikan mereka, para kontraktor perlukan intervensi atau campur tangan kerajaan untuk membela nasib mereka.

“Tangga gaji yang rendah, masa bekerja yang panjang, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso kadang-kadang tidak ada, dinafikan gaji minimum serta tiada jaminan pekerjaan adalah isu yang selalu mereka hadapi.

“Semoga kerajaan khususnya Menteri Sumber Manusia menolong menyelesaikan masalah pekerja informal yang ramai ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, langkah kerajaan naikkan gaji para pekerja awam terutama mereka dalam golongan bergaji rendah adalah langkah yang tepat dan bagus.

Jelasnya, ini akan membantu mewujudkan kelas menengah yang akan berkembang di Malaysia namun nasib pekerja terbabit perlu diberikan perhatian.- MalaysiaGazette