Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail

KUALA LUMPUR – Kes jenayah harta benda di Wangsa Maju bagi tempoh Januari hingga Jun 2024 meningkat sebanyak 51.43 peratus atau pertambahan 180 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, kes curi kenderaan merupakan jenayah yang kerap terjadi dan menjadi penyumbang kepada kadar jenayah indeks di negara ini.

Menurut, sebanyak 350 kes jenayah harta benda dilaporkan pada tahun 2023 tetapi meningkat kepada 530 kes pada tahun ini.

Sebanyak 191 kes curi motosikal pada tahun 2023, meningkat kepada 211 kes pada tahun 2024.

Kecurian kereta pula merekodkan 53 kes pada setakat ini, berbanding 54 kes dalam tempoh sama tahun lalu manakala sebanyak empat kes kecurian lori/van dilaporkan pada tahun lalu susut satu kes setakat suku kedua tahun ini.

Lantaran itu, beliau meminta masyarakat di sini menjadi mata dan telinga membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencegah kes jenayah kecurian kenderaan yang perlu diberi perhatian serius di kawasan perumahan di Wangsa Maju.

Mohamad Lazim berkata, punca kecurian harta benda ini disebabkan kurang kesedaran dan kawalan keselamatan, dan kecuaian pemilik kenderaan terhadap tahap keselamatan menyebabkan kenderaan mereka seringkali dijadikan sebagai sasaran penjenayah.

“Kecuaian pemilik kenderaan yang tidak mengunci kenderaan atau tidak menggunakan kunci kenderaan dengan sewajarnya, kenderaan di parkir di tempat terpencil atau gelap, meninggalkan dan mendedahkan barangan berharga yang mudah dilihat di dalam kenderaan dengan mudah membuka ruang kepada penjenayah mencuri kenderaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian Ketika merasmikan Kempen Kesedaran Awam Kecurian Kenderaan bersama IPD Wangsa Maju-VTREC- Persatuan Penduduk Seksyen 10, Wangsa Maju dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Zon Setiawangsa dan Hari Bertemu Pelanggan di Seksyen 10 Wangsa Maju pagi tadi.

Tambah beliau, kempen berkenaan bertujuan mencegah dan mendidik orang ramai  membasmi jenayah kecurian kenderaan.

“Berdasarkan hasil kajian, jenayah ini kerap berlaku di sekitar pusat beli belah, kawasan kediaman, tepi jalan dan di kawasan-kawasan sunyi dan terpencil,” ujar beliau.

Mohamad Lazim berkata, polis telah meningkatkan kekerapan rondaan, pemeriksaan dan menunjukkan kehadiran polis dengan rondaan kerap oleh Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotorsikal (URB) dan rondaan cegah jenayah oleh balai-balai di kawasan ‘hot spot’ yang sering berlakunya kes-kes jenayah.

Beliau turut mencadangkan agar orang ramai memasang alat penggera, kunci tambahan dan memastikan kenderaan sentiasa dikunci dengan baik serta meletakkan kenderaan di tempat yang selamat dan mudah dilihat dan jangan menyerahkan kunci kereta kepada individu yang baru dikenali.-  MalaysiaGazette