M Kumar

JOHOR BAHRU – Seorang  pemandu lori diperdaya RM150 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran bantuan dana yang menggunakan nama Yayasan Kanser Tunku Abdul Jalil.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 33 tahun itu membuat laporan polis semalam selepas menyedari ditipu seorang individu menerusi satu siaran langsung dalam aplikasi Tik Tok.

“Mangsa mendakwa, dia telah melihat satu siaran langsung dalam Tik Tok, kelmarin, atas nama seorang individu yang menawarkan bantuan dana daripada Yayasan Kanser Tunku
Abdul Jalil berjumlah antara RM3,000 sehingga RM15,000.

“Jumlah bantuan dana yang ditawarkan bergantung kepada pakej yang dipilih dengan bayaran pendaftaran antara RM50 hingga RM300.

“Terdapat enam pakej ditawarkan individu itu iaitu Pakej A hingga Pakej F dengan kadar bayaran tertentu,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang tertarik dengan bantuan dana yang ditawarkan seterusnya berurusan dengan individu berkenaan melalui aplikasi Whatsapp untuk mendapatkan keterangan lanjut berkaitan pakej bantuan dana yang
ditawarkan.

Mangsa katanya, kemudian mengikut arahan individu berkenaan dengan membuat pembayaran ke dalam akaun e-wallet melalui kod QR yang diberikan untuk tujuan pendaftaran dan mendapatkan bantuan dana yang ditawarkan.

Menurut Kumar, mangsa dijanjikan bahawa bantuan dana berkenaan akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank miliknya dalam tempoh 24 jam selepas pendaftaran.

Namun ujarnya, selepas 24 jam, mangsa mendapati tiada wang yang masuk ke dalam akaunnya dan panggilan mangsa juga telah disekat oleh suspek.

Kumar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Pada masa sama, beliau berkata, semakan telah dibuat dengan pihak Yayasan Kanser Tunku Abdul Jalil dan mendapati tiada tawaran bantuan dana sedemikian ditawarkan kepada orang ramai menerusi pakej-pakej yang didakwa.

“Kita ingin memberi peringatan dan menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran bantuan dana yang diterima melalui dalam talian, terutama yang menggunakan nama badan atau yayasan yang membabitkan institusi Diraja.

“Buat semakan dengan badan atau yayasan berkenaan untuk mendapatkan kepastian dan kesahihan atas sesuatu tawaran yang diterima,” tegasnya.- MalaysiaGazette